PRN Melaka: Calon diingatkan hormati petugas media, lapor insiden kepada polis – Fahmi

SEMUA calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diingatkan supaya menghormati peranan dan kehadiran pengamal media yang menjalankan tugas sepanjang tempoh kempen.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, petugas media yang berdepan sebarang situasi tidak selesa atau insiden ketika membuat liputan di lapangan diminta segera membuat laporan polis.

Beliau turut menggesa wartawan supaya tidak berdiam diri sekiranya hasil kerja mereka digunakan pihak lain tanpa kebenaran atau pengiktirafan sumber.

“Kita tidak mahu ada mana-mana pihak yang mencuri maklumat, mencuri kandungan daripada sesuatu media tanpa memberikan kredit ataupun menamakan sumber.

“Sekiranya ada aspek-aspek seperti itu, saya harap rakan-rakan media akan melaporkan kepada pihak Majlis Media Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Pusat Media Kementerian Komunikasi di Hotel Mudzaffar Ayer Keroh hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Erwin Khairul Ahmad.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, sebanyak 39 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Melaka turut berfungsi sebagai pusat media bagi membantu kelancaran tugasan pengamal media sepanjang pilihan raya.

Katanya, kemudahan itu bukan sahaja membolehkan petugas mendapatkan sokongan ketika membuat liputan, malah menyediakan ruang untuk mereka berehat sebelum meneruskan tugasan di lokasi lain.

Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menyediakan kaunter aduan bagi membantu menyelesaikan masalah capaian internet yang mungkin dihadapi pengamal media ketika bertugas.

Fahmi juga menggalakkan petugas media memuat turun aplikasi MCMC Nexus bagi menguji kelajuan internet dan membantu mengenal pasti kawasan yang mengalami masalah liputan atau titik buta komunikasi di negeri itu.

“Kalau ada mana-mana tempat yang merupakan titik buta di negeri Melaka ini, kita harap rakan-rakan media juga dapat bantu untuk sampaikan (menerusi penggunaan aplikasi MCMC Nexus),” katanya.

PRN Melaka ke-16 secara rasmi memasuki fasa kempen selepas proses penamaan calon berlangsung semalam, dengan pengundian awal ditetapkan pada 10 November manakala hari mengundi pada 14 November ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here