SEBUAH bas persiaran terbabas ke bahu jalan sebelum terperosok ke dalam longkang dalam kemalangan di Kilometer 213.4 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS),Alor Gajah, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 10.18 pagi itu dipercayai berlaku apabila bas yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur hilang kawalan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sebuah jentera bersama 10 anggota dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.29 pagi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sembilan individu iaitu lapan pelancong warga India dan seorang pemandu lelaki tempatan.
“Mangsa terdiri daripada tiga lelaki dewasa termasuk pemandu, tiga wanita dewasa serta tiga kanak-kanak lelaki.
“Tiga mangsa mengalami kecederaan ringan membabitkan pemandu dan dua kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, semua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Menyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Menururtnya, operasi menyelamat berjaya dikawal dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.13 pagi.
“Turut membantu di lokasi adalah pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.


