Seorang peniaga wanita berdepan detik cemas apabila rumah sewanya di Taman Scientex Jasin Mutiara, Jasin dipercayai diganggu pemberi pinjam wang tidak berlesen (Along), Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek dipercayai membaling botol sos cili di hadapan rumah selain melontar batu bata hingga memecahkan cermin kereta Proton Persona milik mangsa.
Menurut sumber, wanita berusia 25 tahun itu hanya menyedari kejadian selepas dihubungi pemilik rumah yang dimaklumkan jiran mengenai insiden mencurigakan di kediaman berkenaan.
Difahamkan, mangsa sebelum ini berurusan dengan seorang individu yang menawarkan pinjaman melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa bersetuju membuat pinjaman RM10,000 pada pertengahan April lalu sebelum menerima RM6,500 dan membayar semula secara berperingkat.
“Bagaimanapun, mangsa kemudian membuat pinjaman kedua sebanyak RM20,000 dan menerima RM15,000 mengikut jadual bayaran yang ditetapkan,” katanya.
Menurut sumber, suspek mula mengugut mangsa selepas wanita itu didakwa gagal membuat bayaran balik, termasuk mengancam untuk menyebarkan maklumat peribadi serta gambar rumah keluarga mangsa di Pontian, Johor.
Pada hari kejadian, suspek turut menghantar mesej mendakwa mangsa menerima ‘hadiah’, dipercayai merujuk kepada perbuatan khianat itu.
“Mangsa juga menemui tiga notis bertulis menuntut hutang dijelaskan yang dipercayai ditinggalkan suspek di lokasi kejadian,” katanya.
Bimbang keselamatan diri dan keluarga, mangsa tampil membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana gangguan terhadap peminjam.


