SEORANG lelaki meninggal dunia selepas dipercayai mengalami sesak nafas ketika mendaki Gunung Lambak bersama tiga rakannya, semalam.
Mangsa, Muhammad Nur Hakimi Mohd Harris, 32, ditemui tidak sedarkan diri kira-kira 800 meter dari aras bawah gunung berkenaan pada jam 1.42 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum anggota dari Balai Polis Kluang digerakkan ke lokasi bersama pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Usaha membawa turun mangsa berdepan kesukaran berikutan hujan lebat di kawasan berkenaan.
“Selepas berjaya dibawa turun ke kaki gunung pada jam 6.15 petang, pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat.


