Guru tadika didenda RM1,200 cubit kanak-kanak hingga lebam

“SAYA mohon maaf kerana gagal mengawal emosi dalam mendidik kanak-kanak,” demikian rayuan seorang guru tadika selepas mengaku bersalah mencederakan seorang kanak-kanak perempuan di bawah jagaannya.

Tertuduh, Nurul Amira Natasya Mohd Nazri, 25, dikenakan denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Yong Peng, hari ini.

Majistret Arun Noval Dass turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, namun wanita itu membayar denda tersebut.

Permohonan maaf tertuduh disampaikan melalui peguam belanya, Mohd Razak Shariff, ketika mengemukakan rayuan di mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurul Amira didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dengan mencubit lengan mangsa hingga lebam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah tadika di Taman Sentang Jaya, Batu Pahat, kira-kira jam 10 pagi pada 14 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa menyedari terdapat kesan lebam pada lengan kanan anaknya selepas mengambil kanak-kanak itu dari tadika kira-kira jam 4 petang pada hari kejadian.

Mangsa kemudian memaklumkan bahawa dia dicubit oleh gurunya, menyebabkan ibu kanak-kanak itu membuat laporan polis di Balai Polis Parit Sulong pada hari sama.

Susulan laporan itu, polis menahan tertuduh di tadika bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan mendapati mangsa dicubit sebanyak dua kali pada lengan kanan, manakala pemeriksaan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) mengesahkan terdapat kecederaan pada bahagian tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img