Gara-gara pinjam RM200, kereta dibakar along

HANYA kerana meminjam RM200, seorang lelaki berdepan kerugian besar apabila keretanya dibakar oleh along dalam kejadian berunsur ugutan di daerah Kuala Muda, Alor Setar, 16 April lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan susulan kegagalan mangsa melunaskan baki pinjaman yang dibuat secara dalam talian.

Menurutnya, mangsa telah membayar RM150, namun kumpulan along terbabit mendakwa bayaran masih tidak mencukupi sebelum bertindak membakar kenderaan miliknya.

“Susulan kejadian itu, polis melancarkan Op Vulture pada 26 April lalu dan berjaya menahan lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita yang dipercayai ahli kumpulan dikenali sebagai Geng Atan.

“Kumpulan ini aktif melakukan jenayah menyimbah cat dan membakar kenderaan peminjam along di sekitar daerah Kuala Muda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan turut terlibat dalam sekurang-kurangnya 11 kes sama dan mempunyai kaitan dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen.

Mengulas lanjut, Adzli berkata dua daripada suspek yang ditahan adalah pasangan suami isteri, dengan lelaki berperanan sebagai ketua yang menerima arahan serta menyediakan nota ugutan kepada mangsa.

“Isterinya pula menulis nota ugutan, manakala tiga lagi suspek bertindak sebagai penghantar nota serta melakukan perbuatan menyimbah cat dan membaling objek ke rumah atau kenderaan mangsa,” katanya.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 31 hingga 43 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah curi dan dadah.

“Dengan tertangkapnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan 11 kes berkaitan kegiatan along di daerah ini. Bagaimanapun, dua lagi suspek termasuk dalang utama masih bebas dan sedang dikesan,” katanya.

Beliau berkata, setiap tugasan jenayah dilakukan kumpulan itu dibayar antara RM300 hingga RM600, selain mereka turut merekrut individu lain termasuk penagih dadah bagi melaksanakan kegiatan tersebut.

Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk tong berisi petrol, tin cat, botol kaca, nota ugutan, pakaian, telefon bimbit serta motosikal yang digunakan suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img