SEORANG lelaki tempatan yang mengamuk sambil memegang dua bilah pisau di kawasan lot kedai Damansara Perdana, Petaling Jaya, berjaya ditahan polis tanpa sebarang insiden tidak diingini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 7 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Damansara segera dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.
“Setibanya di lokasi, polis mendapati seorang lelaki tempatan berada di tangga bersebelahan premis sambil memegang dua bilah pisau.
“Anggota polis kemudian menghampiri suspek dan mengarahkannya supaya menyerahkan senjata berkenaan sebelum lelaki itu berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut dan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam.
Katanya, permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selama tiga hari sehingga 7 Mei ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.


