POLIS menahan sepasang kekasih remaja selepas dipercayai terlibat dalam kes menggugurkan kandungan dan menyembunyikan janin, minggu lalu.
Perbuatan itu terbongkar selepas remaja perempuan berusia 18 tahun itu datang ke hospital dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai mengalami keguguran ketika kandungan berusia 22 minggu pada 25 April lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, remaja berkenaan dipercayai telah mengambil pil untuk menggugurkan kandungan sehingga berlaku pendarahan selepas uri berjaya dikeluarkan.
“Pesakit telah memberitahu janin yang keluar tidak bernyawa dan telah ditanam oleh teman lelaki di lokasi yang tidak diketahui.
“Susulan itu, teman lelaki berusia 18 tahun telah ditahan sekitar jam 11.40 malam pada 25 April lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dzulkhairi, polis kemudian menahan remaja perempuan berkenaan pada jam 3.15 petang, 5 Mei lalu selepas dia keluar dari hospital.
Katanya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil saringan air kencing adalah negatif.
Mengulas lanjut, kata beliau, siasatan mendapati kedua-dua suspek telah merancang untuk menggugurkan kandungan menggunakan pil.
“Selepas kejadian, suspek lelaki mengambil janin tersebut di rumah teman wanitanya sebelum merancang untuk menanamnya di belakang rumah.
“Janin itu disembunyikan terlebih dahulu di dalam sebuah kereta jenis Honda City di kediamannya,” katanya.
Tambahnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tambah beliau, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Melaka dan arahan telah diberikan untuk mendakwa suspek lelaki di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, manakala suspek perempuan di bawah Seksyen 315 kanun yang sama.
“Kedua-dua suspek dijangka akan dituduh di Mahkamah Ayer Keroh pada Jumaat ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes berkenaan.
Orang ramai diminta mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum berkongsi sebarang maklumat di media sosial.


