CALON Hadiah Cerpen Komanwel 2026 Mohamed Nasser Mohamed meninggal dunia pada usia 62 tahun, awal pagi tadi.
Berita pemergian Mohamed Nasser yang juga antara penyumbang artikel khusus untuk Bahasa Melayu FMT disahkan oleh anaknya Rusina Othman menerusi Facebook.
Rusina memaklumkan ayahnya meninggal dunia kira-kira 3.45 pagi tadi.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Raja Muda Musa, Semenyih untuk disembahyangkan dan dikebumikan sebelum solat Zohor.
Nasser menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang tersenarai pendek bagi Hadiah Cerpen Komanwel 2026, sebuah pertandingan global yang menerima 7,806 penyertaan dari 54 negara.
Hanya 25 penulis dari 14 negara berjaya terpilih. Pemenang bagi anugerah itu dijangka diumum hujung bulan depan.
Sementara itu artikel Allahyarham disiarkan oleh FMT hari ini dalam segmen Pandangan. Artikel itu berkaitan kembalinya pelakon dan pelawak Allahyarham Jalil Hamid kelmarin.
Dalam artikel itu Allahyarham Mohamed Nasser menyifatkan dunia seni kehilangan seorang pelakon yang percaya kepada proses — kepada kesabaran, ketelitian, dan kejujuran dalam setiap watak yang dibawa.
Kata Allahyarham Mohamed Nasser, negara mungkin akan terus mempunyai pelakon dan wajah-wajah baharu akan terus muncul, karya-karya akan terus dihasilkan.
”Namun pelakon seperti ini — yang tidak mengejar sorotan, tetapi meninggalkan kesan — tidak mudah diganti. Mereka tidak mencipta sensasi, tetapi mereka mencipta ingatan. Dan mungkin itulah warisan sebenar yang ditinggalkan oleh Jalil Hamid,’’ kata beliau.


