KEBIMBANGAN kira-kira 850 pelajar perubatan Malaysia di Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) , United Kingdom untuk menjalani latihan siswazah atau ‘housemanship’ berakhir hari ini apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia menerima mereka bagi tujuan tersebut.
Isu itu mula timbul susulan pelaksanaan Akta Latihan Perubatan (Keutamaan) 2026 oleh UK yang mengubah syarat kemasukan ke Program Asasi (FY1/FY2).
Perubahan dasar itu menyebabkan pelajar NUMed kini tidak lagi menikmati keutamaan untuk menyertai latihan perubatan di bawah sistem Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, masa depan kesemua mahasiswa terbabit juga tidak terjejas kerana ijazah di NUMed tetap diiktiraf di bawah Akta Perubatan 1971.
“KKM sedia menyerap anda untuk menjalani latihan siswazah di 48 hospital latihan di seluruh Malaysia. Fokus utama saya sebagai Menteri Kesihatan adalah memastikan bakat perubatan kita ada tempat untuk berkembang. Jika UK tutup pintu, Malaysia sentiasa buka pintu untuk anda pulang berkhidmat,” katanya.
Beliau demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Clinical Research Malaysia (CRM) Trial Connect Conference 2026, di Kuala Lumpur.
Dzulkefly berkata, Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) KKM turut mengesahkan tiada halangan untuk kumpulan graduan berkenaan dilatih di Malaysia menggunakan modul sedia ada, tertakluk syarat kemasukan sedia ada.
Katanya, permohonan boleh dibuat secara terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melalui sistem permohonan jawatan SPA9, dengan antara syarat memenuhi kriteria skim perkhidmatan, termasuk lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Bagi bukan warganegara, selaras dengan peruntukan undang-undang, permohonan boleh dibuat melalui Jawatankuasa Pemilihan Pegawai Kontrak (JPPK) di bawah KKM sebelum disahkan oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan SPA,” katanya.
Beliau menjelaskan, Malaysia mempunyai kapasiti untuk menempatkan kesemua mahasiswa terbabit menjalani latihan siswazah dalam negara, selari dengan hasrat kerajaan mahu bakat tempatan berbakti di negara sendiri.


