SEORANG ibu kepada dua anak didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Pontian, hari ini, selepas mengaku bersalah menyerahkan akaun bank miliknya kepada pihak ketiga bagi tujuan penipuan pinjaman tidak wujud, tahun lalu.
Tertuduh, Nur Fatin Emelia Rahmat, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurhafiza Haron.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara tidak jujur membantu mengalihkan wang milik seorang wanita dari Kampung Dalam, Ayer Baloi berjumlah RM880 ke dalam akaun CIMB Bank miliknya pada 4 Februari tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa sebelum itu melayari Facebook sebelum tertarik dengan iklan pinjaman wang dan menghubungi seorang lelaki untuk membuat pinjaman RM5,000.
Mangsa kemudian menyerahkan maklumat peribadi serta akaun bank sebelum diarahkan memindahkan wang RM880 ke akaun tertuduh sebagai syarat permohonan pinjaman.
Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas gagal menerima wang pinjaman seperti dijanjikan sebelum membuat laporan di Balai Polis Ayer Baloi.
Siasatan polis membawa kepada penahanan Nur Fatin Emelia pada 6 Mei lalu.
Hasil siasatan mendapati tertuduh menyerahkan maklumat akaun bank miliknya kepada pihak ketiga walaupun mengetahui tindakan itu menyalahi undang-undang.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut gagal memberi penjelasan munasabah berkaitan kemasukan wang ke dalam akaunnya.
Dalam rayuan, wanita itu memohon hukuman ringan dengan alasan baru kehilangan pekerjaan selain perlu menyara dua anak kecil.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda dan tertuduh dilaporkan membayar jumlah berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Fakhrul Naim Md Lias.


