POLIS memohon sambung reman terhadap dua remaja lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian penuntut kolej wanita yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Kota Bharu, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kedua-dua suspek berusia 19 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu pagi esok.
“Kita akan mohon sambung reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Sebelum ini, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang wanita ditemukan di Kampung Padang Simah, Ketereh dengan 61 kesan tikaman di seluruh anggota badan.
Susulan kejadian itu, polis menahan empat individu termasuk dua remaja lelaki berusia 19 tahun serta ibu bapa kepada salah seorang suspek.
Bagaimanapun, pasangan warga emas terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan awal dijalankan.
Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


