JIM gempur ‘hub’ warga asing di Cyberjaya, 13 ditahan

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah kawasan dipercayai menjadi ‘hub’ warga asing di Cyberjaya menerusi operasi bersepadu dengan menahan 13 individu atas pelbagai kesalahan imigresen, malam kelmarin.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 9 malam di Menara Paragon itu membabitkan 83 pegawai penguat kuasa imigresen bersama 15 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil aduan awam dan risikan selama seminggu terhadap kawasan yang dipercayai menjadi tumpuan warga asing.

Menurutnya, pemeriksaan tertumpu kepada premis makanan, kiosk, pusat jualan dan beberapa premis perniagaan yang disyaki menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Hasil operasi, sebanyak 16 premis diperiksa membabitkan 105 warga asing dan 89 warga tempatan.

“Seramai 13 warga asing berusia antara 26 hingga 35 tahun ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Sudan, India, Pakistan, Nepal, Myanmar dan Indonesia.

“Selain itu, satu Borang 29 saman kepada saksi turut dikeluarkan terhadap seorang warga tempatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, semua warga asing terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Zakaria berkata, JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan terutama terhadap sektor perkhidmatan yang didominasi warga asing.

“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas lawatan di negara ini.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img