Bayi lima bulan maut, pemandu lori positif dadah direman

SEORANG bayi lelaki berusia lima bulan maut selepas kereta dinaikinya bersama ibu bapa terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan simpang Kampung Sadek, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.32 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Baling akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun bersama isterinya, 41, dan bayi mereka sedang dalam perjalanan dari arah Gerik menghala ke Kupang.

Menurutnya, lori dipandu lelaki berusia 43 tahun itu turut datang dari arah sama iaitu dari Kelantan menuju ke Pulau Pinang.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta, isterinya dan bayi mereka mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, bayi lelaki berusia lima bulan yang cedera parah disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor TV3.

Beliau berkata, mayat bayi terbabit dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi proses bedah siasat.

Menurutnya, pemandu lori kemudian ditahan dan direman empat hari sehingga Isnin selepas ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.32 malam sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa wanita dan bayi berjaya dikeluarkan terlebih dahulu oleh orang awam manakala pemandu kereta dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

“Pemandu dan penumpang hadapan kereta mengalami kecederaan di muka manakala bayi terbabit cedera di kepala. Pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.21 malam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img