CUBAAN sindiket menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan laut berjaya dipatahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di persisir pantai Telok Senangin, Lumut pada awal pagi semalam.
Dalam operasi bermula jam 1.25 pagi itu, seramai 20 warga Indonesia termasuk 11 wanita ditahan dipercayai baru tiba dari Tanjung Balai, Indonesia menggunakan laluan laut haram.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Perak hasil risikan selama tiga minggu serta maklumat awam.
“Pasukan operasi mengesan pergerakan masuk PATI di sekitar persisir pantai Telok Senangin sebelum berjaya menahan sembilan lelaki dan 11 wanita warga Indonesia berusia antara 19 hingga 59 tahun.
“Semakan awal mendapati sebahagian daripada mereka dipercayai merupakan Imigran Larangan yang telah disenarai hitam serta berada dalam senarai syak jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sindiket dipercayai menggunakan kapal ikan bagi membawa masuk PATI untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Modus operandi sindiket adalah membawa masuk migran menggunakan laluan laut secara haram yang dikendalikan ejen dipercayai berada di Tanjung Balai, Indonesia.
“Migran yang mendarat di kawasan persisir pantai kemudian akan diatur menggunakan kenderaan melalui laluan darat ke destinasi ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, sindiket dipercayai mengenakan bayaran RM1,500 bagi setiap individu untuk memasuki negara ini secara tidak sah.
“Kesemua warga asing terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke pejabat imigresen untuk tindakan lanjut,” ujarnya.


