PENGHUNI sebuah rumah di Kampung Bukit Sungai Putih di Ampang terpaksa diarahkan keluar sebagai langkah keselamatan susulan kejadian runtuhan tanah berhampiran kediaman itu petang ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.17 petang.
“Seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
“Komander operasi melaporkan terdapat runtuhan tanah dengan jarak kira-kira 1.22 meter dari kawasan rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, anggota bomba turut menjalankan pemantauan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada risiko bahaya kepada penduduk.
“Pihak bomba turut memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari turut turun padang meninjau kejadian pergerakan tanah di kawasan berkenaan.
MPAJ dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tiba di lokasi kira-kira jam 6 petang bagi mendapatkan maklumat lanjut serta meninjau keadaan semasa di kawasan kejadian.
“Skuad PANTAS MPAJ turut hadir sejurus menerima laporan untuk melaksanakan tindakan awal dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang ingin membuat aduan kecemasan atau memerlukan bantuan boleh menghubungi Skuad PANTAS MPAJ di talian 03-4285 7333.


