KERAJAAN negeri Pahang menyatakan sokongan penuh terhadap titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu eksport pasir sungai.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan berkata, titah yang disampaikan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 hari ini mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan negeri serta kepentingan rakyat.

“Kerajaan Pahang menyokong penuh titah Tuanku agar isu eksport pasir sungai perlu diteliti secara menyeluruh oleh Kerajaan Persekutuan kerana ia bukan sahaja mampu menambah hasil negeri, malah penting bagi pengurusan sungai dan pengurangan risiko banjir.
“Kerajaan negeri akan meneliti segala perkara yang dibangkitkan demi memastikan hak dan kepentingan Pahang terus terpelihara,” katanya.
Tengku Hassanal hari ini menzahirkan kekecewaan apabila kerajaan Pusat tidak meluluskan usaha Pahang menambahkan hasil negeri seperti mengeksport pasir sungai.
Titah baginda, ia memandangkan Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung dan banyak mendapan pasir yang perlu dikeluarkan agar kelancaran pengaliran air sungai berlaku untuk mengelakkan bencana banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun dilaporkan berkata, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diarah memberi penjelasan sepenuhnya kepada Tengku Hassanal berhubung isu berkenaan.
Anwar dipetik berkata, kerajaan Pusat tidak menolak keperluan negeri mencari hasil tambahan, tetapi ia perlu mengambil kira kepentingan alam sekitar, keselamatan penduduk dan kedudukan ekonomi negara secara menyeluruh.


