POLIS sedang mengesan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di kawasan perumahan Taman Bukit Mewah, Kajang petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia warna perak dikesan cuba memotong kabel milik Telekom Malaysia (TM).
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kes curi kabel berdekatan Taman Bukit Mewah, Kajang kira-kira jam 4.45 petang ini.
“Semasa kejadian suspek melarikan diri selepas ditegur oleh penduduk setempat. Tindakan mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini tular video dalam TikTok utusanmelayuplus berdurasi 41 saat tindakan beberapa individu menaiki sebuah kereta Perodua Axia dipercayai cuba mencuri kabel di kawasan perumahan Taman Bukit Mewah di Kajang.
Bagaimanapun suspek tidak sempat berbuat demikian dan melarikan diri selepas dimarahi oleh penduduk.
Menurut Naazron, kes ini disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pengawai penyiasat Inspektor Balasundaram Gobal di talian 010-227 2724 bagi membantu siasatan.
Katanya, polis turut menasihatkan masyarakat untuk segera menghubungi talian NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4243 jika melihat atau mempunyai maklumat sebarang perbuatan jenayah.


