
CERITA lambakan sayur dari luar negara di Malaysia dan kejatuhan harga mendadak akibat mainan pasaran orang tengah dan kartel, bukanlah perkara baru.
Namun krisis global ketika ini telah meningkatkan rasa kecewa petani sehingga ramai terpaksa menghentikan operasi terutama sejak Mac lalu. Sesetengahnya dikategorikan gulung tikar.
Saya mengulas isu ini memandangkan artikel minggu lalu berkenaan kesan krisis global terhadap sekuriti makanan negara mendapat respon positif pelbagai pihak terutama penanam sayur.
Sebahagian mereka adalah graduan saya. Sesetengah daripada mereka menzahirkan rasa putus asa walaupun sudah berniaga lebih 10 tahun. Mereka bukanlah tidak berpengalaman tetapi masalah lambakan dan kejatuhan harga adalah di luar kawalan usahawan-usahawan tersebut.
Salah seorang anak didik saya berkata, “jika dulu kerajaan melahirkan kami sebagai usahawan, kini kami seolah-olah ‘dibunuh’ sendiri oleh kerajaan. Ia memandangkan tiada langkah kawalan dan penyelarasan untuk menyelesaikan masalah utama ini”.
Berdasarkan respon daripada 300 usahawan tani dalam kaji selidik melalui media sosial saya, hampir 90 peratus mengatakan faktor yang melemahkan mereka ialah masalah lambakan.
Faktor lain ialah kejatuhan harga yang sukar diramal dan kenaikan kos pengeluaran akibat krisis geopolitik global.
Respon lapangan tersebut membolehkan pasukan penyelidik saya di Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) mendapatkan maklum balas dan membuat rumusan dari segi isu, kesan dan penyelesaian.
Turut disebut oleh mereka ialah persaingan harga sayur import terutama dari China, Vietnam dan Thailand yang disifatkan tidak masuk akal.
Sebagai contoh bulan April/Mei lalu, cili Vietnam dijual di pasaran pengguna Malaysia pada kadar harga RM 4.50 sekilo, sedangkan Kerajaan Malaysia melalui FAMA mengunjurkan ketika musim perayaan harga (cili merah Kulai) sekitar RM16.50-RM19.50 sekilogram.
Realitinya, kos mengutip cili di Malaysia sekitar RM 5 sekilo, itu belum lagi kos-kos lain. Maka harga ladang sepatutnya dalam lingkungan RM8 – RM10 sekilo, baru ada untung.
Kelemahan kerajaan menyelaras secara bersepadu dan merancang tanaman turut mengecewakan pengusaha. Mereka mempersoalkan di mana pelbagai sistem data yang diuar-uarkan seperti Sistem GeoTanaman, Jabatan Pertanian dan pelbagai system data yang dicanangkan FAMA seperti Agri Market Insight (AMI) dan inisiatif Data Intelligence?
Selain itu terdapat kelemahan dari segi penyelarasan aktiviti pertanian melibatkan agensi dan program yang dilihat bersifat adhoc seperti program Sejati Madani di bawah seliaan Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) yang tidak mengawal kuantiti pengeluaran hingga berlaku lambakan. Menurut tinjauan juga, banyak pengeluaran sayur di bawah program itu dibungkus awal.
Lebih mengecewakan mereka ialah kegagalan pihak berkuasa menghalang pendatang asing (sesetengah tanpa izin) menjalankan aktiviti pertanian yang bukan sahaja tidak terkawal tetapi juga menyebabkan berlakunya mainan harga.
Ia akhirnya mewujudkan kartel warga asing yang turut mengancam industri pertanian negara khususnya melibatkan kerugian kepada usahawan tempatan.
Keadaan ini menyebabkan semakin ramai usahawan muda meninggalkan industri tersebut dan memilih bidang lain.
Pada masa sama kita berhadapan masalah mendapatkan bakat baru kerana kegiatan pertanian hari ini dilihat tidak menjamin kerjaya masa depan, imej miskin dan perniagaan yang tidak menguntungkan.
Ia terbukti apabila ada agensi kerajaan sendiri gagal memenuhi sasaran bilangan pelatih baru akibat kegagalan menyediakan persekitaran perniagaan yang meyakinkan. Ini belum lagi soal tidak sampaipun 20 peratus graduan menyertai sektor pertanian sebaik sahaja tamat latihan.
Situasi ini pasti meresahkan lagi pakar-pakar terhadap kelangsungan sekuriti makanan negara.
Tambahan pula data berkaitan tahap sara diri (SSL) makanan menunjukkan kita masih bergantung kepada sayur import hingga menyebabkan defisit dagangan kita tinggi.
Difahamkan pada tahun 2025, nilai import sayuran untuk permintaan domestik ialah RM6.3 bilion setahun sedangkan nilai eksport sayuran kita hanyalah sekitar RM 1.27 bilion.
Oleh itu satu reset segera perlu dilakukan bagi mengurangkan masalah ini serta-merta dan juga untuk tempoh jangka sederhana dan jangka panjang.
Kerajaan bukan sahaja perlu melihat perkara ini dari aspek keterjaminan makanan sahaja tetapi juga isu ekonomi dan sosial yang lebih besar demi keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan kedaulatan negara.
Melihat komen-komen dalam kalangan pengusaha berpengalaman yang mengalami masalah ini, sukar untuk kita mengawal kekecewaan mereka yang memandang negatif terhadap tindakan kerajaan, sehingga ramai yang menukar slogan lama iaitu daripada “Pertanian Satu Perniagaan” suatu masa dahulu kepada “Pertanian Satu Kerugian dan Kemiskinan”.
Bertindaklah sebelum terlambat. Buanglah ego untuk mengajak kami di lapangan untuk berbincang dan bersamalah kita menyelesaikannya.
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.


