TNI suraikan program menonton filem dokumentari ‘Pesta Babi’

JIKA di Malaysia khususnya kecoh dengan masalah penternakan babi, Indonesia lain pula cerita pasal haiwan itu.

Ia berikutan penerbitan filem dokumentari bertajuk Pesta Babi yang mencetuskan bantahan di sesetengah wilayah negara itu.

Filem dokumentari itu menjadi salah satu karya yang ramai diperbincangkan oleh masyarakat Indonesia kerana mengangkat isu konflik agrarian ( pemilikan, penggunaan, dan pengurusan tanah), penebangan hutan (deforestasi), dan kehidupan masyarakat adat di Papua Selatan.

Filem ini bukan sekadar tontonan dokumentari biasa, tetapi sebuah karya penyiasatan yang cuba membuka sisi lain pembangunan di Papua yang selama ini jarang muncul dalam ruang awam nasional.

Filem ini diarahkan oleh Dandhy Laksono dan Cypri Dale. Produksinya merupakan hasil kolaborasi antara WatchDoc, Jubi Media, Pusaka Bentala Rakyat, Ekspedisi Indonesia Baru, serta Greenpeace Indonesia. Penerbit filem ini ialah Victor Mambor, seorang wartawan senior Papua yang dikenali aktif mengangkat isu hak asasi manusia dan masyarakat adat di Papua.

Pada Jumaat lalu,  Yayasan Lembaga Bantuan Hukum Indonesia (YLBHI) mengkritik campur tangan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang menghalang program tonton bersama  filem bertajuk ‘Pesta Babi’ di Kota Ternate, Maluku Utara.

Ketua YLBHI Muhammad Isnur menilai pasukan keselamatan  tidak mempunyai kuasa  untuk menentukan apa yang boleh atau tidak boleh ditonton oleh masyarakat.

“Tugas mereka adalah memastikan keselamatan dan ketertiban bukan menjadi penentu selera, moral, mahupun tafsiran atas sebuah seni,” kata Isnur kepada Tribunnews.com,

Selain itu menurut Isnur, apabila anggota keselamatan mula masuk terlalu jauh ke dalam wilayah ekspresi budaya dan kebebasan berfikir warga, maka akan berlaku penyempitan ruang demokrasi dan meningkatnya ketakutan untuk berekspresi.

Isnur berkata, sebuah karya seni tidak semua harus disukai atau disetujui oleh semua orang kerana pada dasarnya merupakan platform untuk menyampaikan gagasan mahupun kritikan.

“Dalam masyarakat demokratik, perbezaan pandangan terhadap sebuah karya seharusnya dijawab melalui diskusi, kritikan atau pilihan untuk tidak menonton, bukan melalui larangan dan intimidasi,” jelasnya.

Filem Pesta Babi pertama kali dikenali secara meluas melalui tayangan diskusi di pelbagai kota dan kampus di Indonesia. Namun, di beberapa tempat tayangannya mencetuskan kontroversi hingga dibubarkan oleh aparat atau mendapat penolakan daripada kelompok tertentu.

Perkara itu malah membuat filem ini semakin menarik perhatian umum dan menjadi bahan perbincangan tentang kebebasan berekspresi, demokrasi, serta isu Papua di Indonesia.

Isnur menilai bahawa jika pelarangan menonton bersama seperti pemutaran filem ‘Pesta Babi’ ini dilakukan pembiaran, maka hanya akan memperkuat praktik intoleransi dan membuka ruang bagi tindakan sewenang-wenangnya terhadap kebebasan warga negara.

Kata beliau, larangan program menonton bersama Pesta Babi yang dilakukan TNI ini tidak sesuai dengan Undang-Undang TNI kerana telah masuk kepada urusan sivil dan melanggar UU TNI itu sendiri.

Oleh kerana itu, YLBHI pun mendesak kepada semua pihak khususnya pasukan keselamatan dan pemerintah untuk menghormati kebebasan berekspresi dan menghentikan segala bentuk campur tangan terhadap pemutaran karya seni dan budaya.

“Demokrasi yang sihat tidak dibangun dengan pelarangan, melainkan dengan keberanian untuk membuka ruang dialog, perbezaan pendapat dan kebebasan berfikir,” jelasnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img