TEMPOH reman seorang lelaki yang disiasat berhubung kes kemalangan maut membabitkan pasangan suami isteri di Jalan Ampang, awal bulan ini, disambung lima hari lagi bermula hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, suspek berusia 24 tahun itu dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira pukul 11 pagi tadi untuk permohonan sambung reman.
Menurut beliau, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Munirah Wan Mustafa membenarkan suspek disambung reman membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur petang ini untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada jam 5.35 pagi, 2 Mei lalu.


