SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun ditemukan lemas ketika mandi di Rainforest Waterfall, Taman Perwira di Tawau petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Muhammad Aiman Shahrizat dipercayai mandi bersama 13 rakannya di kawasan air terjun berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.45 petang sebelum lima anggota bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Tawau bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, lokasi kejadian terletak kira-kira 21 kilometer dari balai dan operasi turut berdepan kesukaran berikutan liputan komunikasi yang terhad di kawasan air terjun berkenaan.
Katanya, sebaik sahaja pasukan penyelamat tiba di lokasi, mangsa dipercayai sudah ditemukan oleh orang awam dan penduduk kampung.
“Maklumat awal mendapati mangsa dipercayai tidak pandai berenang ketika mandi di kawasan air terjun berkenaan,” katanya ketika dihubungi media.
Jemishin berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 6.38 petang.
Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.05 malam.


