PAS Kawasan Kota Melaka baru-baru ini melancarkan tema rasmi gerak kerja pilihan raya iaitu `Memperkukuh jentera, mendekati pengundi, menawan Kota Melaka’ sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Yang Dipertua Pas Kota Melaka, Sudin Nooh berkata, tema ini menjadi teras dan panduan utama kepada seluruh jentera parti dalam usaha memperkukuhkan pengaruh Pas dan Perikatan Nasional (PN) di kawasan Parlimen tersebut.
Menurut beliau, pihaknya yakin kemenangan tidak akan hadir tanpa persiapan yang tersusun, gerak kerja yang konsisten serta kekuatan jentera yang mantap di setiap peringkat.
Oleh itu katanya, seluruh ahli, penyokong dan pendukung parti diseru untuk memperkasakan gerak kerja di setiap Unit Daerah Mengundi (UDM) sebagai benteng utama perjuangan dan pusat operasi mendekati rakyat.
“Fokus utama gerak kerja ini merangkumi pengukuhan organisasi dan jentera pilihan raya di setiap UDM, pendekatan mesra rakyat dan turun padang secara konsisten, pendaftaran serta pengemaskinian data pengundi, penglibatan golongan muda, profesional dan sukarelawan, penyampaian mesej perjuangan secara lebih tersusun dan berkesan.
“Pada masa yang sama, Pas Kota Melaka turut membuka ruang kepada seluruh masyarakat yang prihatin dan ingin melihat perubahan politik yang lebih bersih, stabil dan berintegriti untuk bersama-sama menyumbang tenaga sebagai sukarelawan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan kepada utusanmelayuplus.
Menurut Sudin, pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan daripada anak muda, golongan profesional, pesara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis masyarakat dan seluruh rakyat yang mempunyai semangat perjuangan untuk membantu gerak kerja kempen, media, logistik, kebajikan, kebersihan, operasi pusat daerah mengundi serta pelbagai tugas lain sepanjang persiapan pilihan raya.
Beliau memberitahu, perjuangan ini bukan sekadar untuk memenangi kerusi politik, tetapi demi membina masa depan rakyat dan negeri Melaka yang lebih sejahtera, berintegriti dan berkat.
“Pas Kota Melaka yakin bahawa dengan kesatuan saf, kekuatan jentera dan sokongan rakyat, usaha untuk menawan Kota Melaka mampu direalisasikan,” tegas beliau.


