SEORANG mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mencuri pelbagai pakaian termasuk bra dan gaun di sebuah butik terkenal dalam pusat beli-belah minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Aidil Mustaqim Zulkifeli, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa mencuri sembilan barangan milik sebuah butik pakaian di pusat beli-belah Aeon, Jalan Lagenda, Taman Lagenda, Melaka Tengah kira-kira jam 7.50 malam, kelmarin.
Antara barangan yang didakwa dicuri termasuk beberapa helai baju-T lelaki, pakaian wanita, bra, seluar pendek dan gaun dengan nilai keseluruhan RM491.
Kes didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, selain sebatan bagi kesalahan berulang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin yang mencadangkan jaminan RM7,000.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.
Menurutnya, tertuduh yang bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM1,500 sebulan turut menanggung ibunya yang menghidap barah otak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan semula kes.


