BARISAN Nasional (BN) Johor hari ini mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.

Menurut beliau, keputusan berkenaan turut dicapai selepas perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.
“Bagi UMNO dan BN Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Onn Hafiz berkata, BN Johor komited untuk meneruskan agenda pembangunan negeri selain memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
Beliau turut berharap negeri Johor sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah SWT demi kesejahteraan seluruh rakyat.
Pada PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pakatan Harapan (PH) pula menang 12 kerusi, dengan 10 dimenangi DAP, selain PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga, manakala Muda satu.
DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April tahun depan.
Mengikut peruntukan undang-undang, SPR mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran untuk mengadakan pilihan raya.
Ini bermakna PRN Johor ke-16 perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Jun 2027, sekiranya pembubaran berlaku secara automatik.


