KEJADIAN lubang benam di Jalan Wangsa Delima 4, Wangsa Maju di ibu negara semalam dipercayai berpunca daripada kerosakan sistem perparitan dan bukannya masalah mendapan tanah.
Bagi mengatasi masalah itu, laluan tersebut ditutup sementara selama dua minggu bagi membolehkan siasatan dan kerja pembaikan dijalankan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan siasatan terperinci bersama semua penyedia utiliti bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurut beliau, kawasan lubang benam itu kini ditutup dan dikawal dengan keluasan kira-kira empat meter lebar serta empat meter dalam.
“Semalam saya pergi ke tapak dan kita dapati ada satu main drain (longkang utama) dengan diameter 1.5 meter serta sump (takungan) di kawasan itu,
“Kita dapati tembok sump itu pecah dan kita tidak jumpa ke mana runtuhan tembok itu pergi,” katanya dalam sidang media Mitigasi Banjir di Anjung Singgahsana di Menara DBKL, Kuala Lumpur hari ini.
Sidang media itu diadakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Semalam, satu kejadian lubang benam berlaku di Jalan Wangsa Delima 4, Wangsa Maju berhampiran simpang empat Wangsa Walk.
Berdasarkan video tular di laman Threads, lubang tersebut kelihatan agak dalam selain mempunyai saliran air di bawah permukaan jalan.
Fadlun berkata, terdapat kemungkinan kerja utiliti menggunakan kaedah Horizontal Directional Drilling (HDD) di bawah tanah menyebabkan struktur tembok sistem perparitan pecah.
“Bila tembok itu pecah, air longkang terus masuk ke tanah dan menyebabkan rongga. Tetapi pasukan kami masih menjalankan siasatan penuh bersama semua penyedia utiliti untuk kenal pasti punca sebenar,” katanya.
Menurutnya lagi, kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan masalah tanah mendap lain, sebaliknya dipercayai berpunca daripada kerosakan sistem perparitan.
Beliau berkata, DBKL juga sudah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu lubang benam atau lubang jalan di ibu kota.
“Dalam banyak kes potholes, ia berpunca daripada paip sewer atau sistem perparitan yang pecah sehingga menyebabkan kawasan bawah tanah menjadi lompong,
“Apabila tanah di kawasan berhampiran jatuh, ia akan menyebabkan potholes kecil atau besar,” katanya.
Beliau berkata, DBKL akan melaksanakan penutupan sementara jalan di lokasi potholes sebelum pemeriksaan dibuat bagi mengenal pasti sama ada berlaku kebocoran paip atau kerosakan utiliti lain sebelum kerja pengukuhan kekal dilaksanakan.
Fadlun turut memaklumkan kerja utility mapping di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur kini hampir 90 peratus siap membabitkan jajaran sepanjang 32 kilometer.
Katanya, DBKL juga akan memasang Settlement Marker dari Semua House hingga Masjid India bagi mendapatkan bacaan pergerakan tanah secara masa nyata untuk membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku mendapan tanah.


