HASRAT seorang anak untuk menguruskan pembahagian harta pusaka arwah bapanya membawa kepada penemuan mengejutkan apabila geran tanah milik keluarga rupa-rupanya sudah dicagar ibunya kepada syarikat pinjaman wang akibat diperdaya sindiket penipuan.
Lebih menyedihkan, wanita warga emas berusia 76 tahun dari Mentakab itu dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan sejak Mei tahun lalu hingga kerugian RM327,600.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa bukan sahaja mencagarkan geran tanah atas nama mendiang suami, malah melakukan 42 transaksi bayaran ke tujuh akaun berbeza antara 28 Mei 2025 hingga 25 Mac lalu.
Menurutnya, mangsa mendakwa diarahkan berbuat demikian kononnya bagi membantu siasatan selepas dituduh terlibat dalam kegiatan penipuan.
“Kisah malang itu bermula selepas mangsa menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai ‘Polis Sarawak’ pada penghujung Mei tahun lalu.
“Mangsa dimaklumkan akaun banknya sedang disiasat kerana nombor kad pengenalannya dipercayai digunakan dalam aktiviti penipuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa turut diarahkan supaya merahsiakan perkara tersebut daripada ahli keluarga sepanjang tempoh kononnya siasatan dijalankan.
“Mangsa berada dalam ketakutan selepas digertak suspek dengan nada kasar sebelum akur melakukan semua arahan diberikan.
“Wanita itu dipujuk membuat pindahan wang kononnya bagi tujuan siasatan dan dijanjikan semua wang akan dipulangkan selepas kes selesai,” katanya.
Tambah beliau, akibat terpedaya dengan helah sindiket, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM327,600 membabitkan wang simpanan serta pinjaman daripada syarikat pinjaman wang.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa atau agensi kerajaan.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat pindahan wang ke akaun tidak dikenali tanpa melakukan semakan terlebih dahulu menerusi platform Semak Mule atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.


