SEORANG peniaga direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini, selepas disyaki merakam video adik perempuan kandungnya sedang mandi di dalam bilik air, semalam.
Perintah reman terhadap suspek berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A. Rahman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Menurut sumber, mangsa berusia 26 tahun mendakwa menerima panggilan daripada suspek yang memintanya datang ke bilik kerana mahu menunjukkan sesuatu.
Sebaik tiba di bilik, mangsa terkejut apabila suspek menunjukkan satu rakaman video dirinya sedang mandi di dalam bilik air.
Mangsa kemudian meminta suspek memadamkan video terbabit namun lelaki itu enggan berbuat demikian.
Berang dengan tindakan suspek, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Bertindak atas laporan diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas/Jenayah Berat (D9) menahan suspek kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.
Polis turut merampas telefon bimbit milik suspek dan hasil pemeriksaan menemukan rakaman video mangsa sedang mandi.
Saringan awal air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine selain mempunyai enam rekod jenayah lampau.
Siasatan turut mendapati mangsa tinggal serumah bersama suspek dan seorang lagi abang mereka selepas ibu bapa meninggal dunia beberapa tahun lalu.


