KERAJAAN tidak akan meluluskan sebarang permohonan untuk pembangunan di kawasan kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu bagi menangani isu banjir di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perkara itu diputuskan selepas penilaian teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan mendapati kapasiti kolam berkenaan kini hanya tinggal 30 peratus daripada saiz asal.
“Kerajaan MADANI memandang serius keadaan sebanyak 17 lot tanah kolam takungan banjir Jinjang dan Batu yang telah diberi milik kepada pihak pemaju sejak 2015.
“Anggaran sebanyak 70 peratus keluasan tanah dalam kawasan badan air telah diserah hak milik kepada pemaju bagi tujuan pembangunan sehingga menyebabkan berkurangnya kapasiti badan air berbanding keluasan asal 33.5 hektar,” katanya dalam sidang media Mitigasi Banjir di Anjung Singgahsana di Menara DBKL, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Hannah, keadaan itu menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir berkenaan selain menyukarkan kerja penyelenggaraan dan akses jentera.
“Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah mewujudkan satu pasukan petugas yang dipengerusikan Ketua Pengarah JWP, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi memperkukuh penyelarasan dan tindakan mitigasi banjir di Kuala Lumpur.
“Sehubungan itu, DBKL tidak akan meluluskan pemberian Kebenaran Merancang (KM) bagi sebarang permohonan pembangunan di kawasan kolam takungan banjir sehingga syarat pembangunan yang ditetapkan oleh JPS dipatuhi bagi memastikan fungsi asal kolam dan akses penyelenggaraan dapat dikekalkan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Hannah berkata pasukan berkenaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pemilik tanah terbabit serta agensi berkaitan di Selangor dalam masa terdekat.


