Pertemuan strategik Pemuda Pas-Pemuda UMNO Selangor  bincang pelbagai isu Melayu,Islam

WALAUPUN berbeza fahaman politik namun ia sama sekali tidak menghalang dua sayap parti mengadakan pertemuan strategik bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan orang Melayu, agama Islam dan raja-raja.

Naib Ketua Pemuda Pas Selangor Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pertemuan itu yang dihadiri oleh Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar dan Ketua Pemuda UMNO Selangor di Shah Alam berlangsung selama 2 jam melibatkan kepimpinan utama kedua-dua pihak.

Katanya, antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai agenda Musyawwarah Nasional yang dibawa oleh UMNO, agenda penyatuan ummah yang dibawa oleh Pas, isu-isu yang meresahkan orang Melayu, kepentingan dan kedaulatan Islam di Malaysia, ancaman naratif Malaysian Malaysia, dan bahaya agenda negara sekular yang dibawa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam negara ini.

‘’Meskipun Pas dan UMNO berada di blok politik yang berbeza namun ia tidak menghalang pemuda Pas dan UMNO untuk terus meneroka ruang kerjasama (taawun) demi agenda yang lebih besar, iaitu mempertahankan dasar Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara yang menjadi tiang seri kepada kesejahteraan dan keharmonian rakyat dan negara kita selama ini,’’ katanya dalam kenyataan.

Beliau mendakwa, pertemuan itu penting bagi mencari jalan penyatuan Melayu dan Islam ketika DAP dikatakan teruja untuk menjayakan agenda Malaysian Malaysia dan negara sekular.

Muhammad Faizzuddin berkata tindak tanduk beberapa pemimpin DAP dan PKR dalam isu ternak babi di Selangor membuktikan mereka seolah-olah cuba membelakangi titah Sultan Selangor Sulta Sharafuddin Idris Shah.

‘’Meskipun telah dititahkan berulang kali agar dinoktahkan isu kandang babi ini namun ternyata pemimpin DAP dan PKR sudah tidak dapat mampu untuk menahan diri untuk berselindung di sebalik hipokrasi politik mereka,’’katanya.

Sementara itu beliau berkaya, sebarang naratif atau gerakan yang cuba merombak asas kontrak sosial negara di bawah label kesamarataan mutlak perlu disekat secara tuntas melalui ruang dan kerangka demokrasi sedia ada.

‘’Strategi yang terbaik ialah melalui penyatuan Melayu dan Islam khususnya antara dua kuasa besar dalam negara ini iaitu Pas dan UMNO dan insya-Allah Selangor akan jadi antara pencetus awal kepada kebangkitan penyatuan ini,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img