
PERDEBATAN mengenai cadangan pemotongan subsidi pukal RON95 terus hangat diperkatakan, khususnya melibatka golongan T20 apabila timbul kebimbangan bahawa langkah tersebut akan memperlahankan ekonomi kerana golongan berpendapatan tinggi atau T20 merupakan kelompok yang banyak berbelanja.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa golongan T20 menyumbang kepada perbelanjaan domestik dan putaran ekonomi. Namun persoalan utama yang perlu dilihat ialah tujuan asal subsidi bahan api itu sendiri.
Subsidi diwujudkan untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan yang lebih memerlukan, bukannya untuk membolehkan pengguna yang menggunakan minyak paling banyak terus menikmati bantuan besar daripada wang awam.
Apabila subsidi pukal dikurangkan, wang yang dijimatkan kerajaan bukanlah “hilang” daripada ekonomi negara. Sebaliknya, dana tersebut boleh disalurkan semula kepada sektor lain yang memberi manfaat lebih luas kepada rakyat seperti hospital, sekolah, pengangkutan awam, bantuan bersasar serta usaha mengurangkan defisit negara.
Semua perbelanjaan itu juga merupakan sebahagian daripada aktiviti ekonomi yang memberi kesan kepada rakyat dan pembangunan negara.
Terdapat juga pandangan bahawa apabila golongan T20 mempunyai kurang lebihan wang, mereka akan mengurangkan perbelanjaan dan seterusnya menjejaskan ekonomi. Namun realitinya, golongan berpendapatan tinggi lazimnya masih mampu meneruskan gaya hidup dan perbelanjaan mereka walaupun subsidi RON95 dikurangkan.
Mereka masih makan di restoran, melancong dan membeli-belah seperti biasa. Perbezaannya hanyalah kerajaan tidak lagi menanggung sebahagian kos penggunaan mereka melalui subsidi awam.
Dalam masa sama, hujah bahawa pengurangan subsidi akan menyebabkan perniagaan merosot dan kutipan cukai kerajaan menurun juga dianggap tidak tepat jika dilihat dalam konteks jangka panjang.
Jika logik tersebut digunakan sepenuhnya, maka semua perkara perlu terus disubsidi tanpa had semata-mata untuk memastikan rakyat terus berbelanja. Sedangkan subsidi pukal yang terlalu besar boleh meningkatkan defisit fiskal, menambah hutang negara dan akhirnya menyumbang kepada tekanan inflasi yang akhirnya ditanggung rakyat sendiri.
Hakikatnya, banyak negara di dunia kini bergerak ke arah subsidi bersasar, bantuan bersasar dan reformasi fiskal bagi memastikan sumber negara digunakan secara lebih cekap. Malaysia juga tidak terkecuali daripada keperluan tersebut.
Masalah utama yang sering timbul ialah masyarakat sudah terlalu lama terbiasa dengan subsidi pukal sehingga wujud persepsi bahawa sesiapa yang menggunakan lebih banyak minyak juga lebih layak menerima lebih banyak subsidi. Sedangkan dalam keadaan sebenar, pengguna yang paling banyak menikmati subsidi lazimnya bukan daripada kelompok B40.
Pada masa sama, penggunaan label seperti T20 juga dilihat semakin mengelirukan kerana tafsirannya berbeza mengikut kawasan dan kos sara hidup. Ada pasangan suami isteri dengan pendapatan isi rumah sekitar RM10,000 turut dianggap T20 dalam sesetengah keadaan.
Justeru, pendekatan lebih jelas mungkin perlu dipertimbangkan kerajaan, antaranya menetapkan had pendapatan isi rumah tertentu bagi kelayakan subsidi RON95. Sebagai contoh, isi rumah berpendapatan RM20,000 ke atas tidak lagi menerima subsidi. Langkah seperti itu boleh membantu rakyat memahami dengan lebih jelas siapakah sebenarnya sasaran reformasi subsidi tersebut.
IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI
FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


