SEORANG wanita warga asing ditahan selepas disyaki meninggalkan bayi lelaki berusia kira-kira dua bulan di laluan pejalan kaki depan sebuah rumah kosong di Kampung Panji, Semporna pagi tadi.
Bayi seberat kira-kira tiga kilogram itu ditemukan orang awam dibungkus dengan kain kira-kira jam 7 pagi sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.16 pagi.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati bayi berkenaan dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan.
“Bayi masih di bawah pemantauan pihak Hospital Semporna sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
“Susulan kejadian itu, polis menahan seorang wanita berusia 28 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaani aitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.


