POLIS Johor Bahru menahan pasangan kekasih remaja selepas dipercayai membuang bayi perempuan yang baru dilahirkan di parkir sebuah surau di Taman Universiti, Skudai, Sabtu lalu.
Remaja lelaki berusia 18 tahun bersama teman wanitanya berusia 19 tahun itu ditahan pada jam 2.15 pagi tadi di sekitar Taman Universiti.
KKetua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.
Menurutnya, polis akan memohon perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan bayi dengan niat menyembunyikan kelahiran.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.33 malam Sabtu lalu, bayi perempuan itu ditemukan oleh jemaah surau dalam keadaan masih bertali pusat dan dibalut dengan tuala di kawasan parkir surau berkenaan.


