Wanita rugi hampir RM300,000 diperdaya pelaburan saham palsu

SEORANG wanita tempatan berputih mata apabila kerugian RM288,761 selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan saham dalam talian tidak wujud yang menggunakan platform dikenali sebagai ‘Aetherbridge Capital / AB Limited’.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa berusia awal 30-an itu tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri pada 12 Mei lalu.

Menurutnya, mangsa dikatakan berkenalan dengan seorang wanita dikenali sebagai ‘Chloe’ menerusi aplikasi Xiaohongshu sekitar tahun lalu sebelum diperkenalkan dengan skim pelaburan berkenaan.

“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp berkaitan pelaburan itu sebelum diarahkan memuat turun aplikasi ‘AB Limited’ melalui Apple Apps Store.

“Suspek turut meyakinkan mangsa bahawa pelaburan itu sah kerana paparan maklumat saham dalam aplikasi terbabit menyerupai platform dagangan sebenar selain menunjukkan keuntungan selepas urus niaga dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian melakukan 22 transaksi pindahan wang ke beberapa akaun syarikat berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM288,761.

Katanya, apabila mangsa mahu mengeluarkan keuntungan, suspek mempengaruhi wanita itu supaya terus membeli saham kononnya bagi memperoleh pulangan lebih tinggi.

“Pada 12 Mei lalu, mangsa sekali lagi cuba membuat pengeluaran namun gagal sebelum diminta membayar penalti RM80,000 bagi membolehkan wang dikeluarkan.

“Mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu selepas gagal memperoleh semula modal dan keuntungan yang dijanjikan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

Katanya, semakan status syarikat pelaburan boleh dibuat menerusi laman web Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Mangsa penipuan siber juga disaran segera menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sekiranya baru melakukan transaksi ke akaun disyaki milik sindiket,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img