SEBUAH kereta Honda Mobilio yang didakwa diberi sebagai hadiah hari jadi, disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur selepas disyaki kenderaan klon dalam Ops Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di Jalan Genting Klang, di Kuala Lumpur, semalam.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, ketika ditahan, kenderaan itu dipandu wanita tempatan berumur 34 tahun yang bekerja sebagai tukang masak.
Katanya, wanita terbabit memaklumkan dia menggunakannya kenderaan berkenaan sejak minggu lalu selepas dipinjamkan oleh ahli keluarganya.
“Wanita itu memaklumkan bahawa kenderaan itu merupakan hadiah hari jadi kepada ibu mereka, yang dibeli abangnya yang menetap di Singapura,” katanya lapor Buletin TV3.

Sementaraitu, melalui Facebook JPJ Kuala Lumpur, jabatan itu memaklumkan menahan sebuah kenderaan jenis Honda berwarna perak sekitar jam 7 malam.
‘’Hasil semakan mendapati kenderaan tersebut mempunyai maklumat tidak sepadan dalam sistem Mysikap, termasuk nombor casis dan enjin yang tidak didaftarkan. Kenderaan berkenaan disyaki sebagai kenderaan klon,’’ kata kenyataan JPJ.
Tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan pengeluaran Notis Saman P22 dan Notis Penyitaan di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 kepada pemandu.
Kes disiasat di bawah beberapa peruntukan termasuk Seksyen 7(1) APJ 1987 – menggunakan kenderaan tidak berdaftar, Seksyen 108(3)(f) APJ 1987 – mempamer nombor pendaftaran bukan milik kenderaan dan Seksyen 90(1) APJ 1987 – tiada perlindungan insurans.


