TIGA lelaki berdepan detik cemas apabila dua daripada mereka tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) selepas Lembah Beringin arah Ipoh, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 pagi itu, seorang mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah apabila satu kaki patah manakala sebelah lagi putus akibat tersepit dalam kenderaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentosa digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah MPV jenis Hyundai Starex dan lori satu tan.
“Setibanya di lokasi pada jam 8.20 pagi, anggota mendapati terdapat tiga mangsa lelaki warga tempatan dengan dua daripadanya tersepit di dalam kenderaan.
“Semua mangsa berada dalam keadaan sedar sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mukhlis berkata, operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT).


