SEORANG akauntan wanita kerugian lebih RM155,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan berganda dalam tempoh hanya 24 jam, tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.
Mangsa berusia 47 tahun itu mendakwa membuat 17 transaksi pembayaran ke dua akaun bank tempatan selepas tertarik dengan keuntungan lumayan ditawarkan menerusi aplikasi dikenali sebagai ‘Antos Pinnacles’.
“Mangsa berminat untuk membuat pelaburan kerana dijanjikan keuntungan berganda dalam tempoh 24 jam dan suspek mendakwa keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi Antos Pinnacles miliknya.
“Mangsa kemudian membuat 17 transaksi pembayaran berjumlah RM155,182.97 ke dalam dua akaun bank tempatan bermula 30 Mac hingga 15 Disember 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya membuat semakan pada aplikasi berkenaan dan mendapati kononnya memperoleh keuntungan sebanyak RM437,740.
“Bagaimanapun, apabila mangsa cuba membuat pengeluaran wang, akaunnya disekat sebelum dia menyedari telah menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu pelaburan tidak wujud.


