AHLI Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan sama ada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya dipengaruhi unsur emosi susulan kenyataan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang mengakui tidak akan memaafkan pihak yang menyerangnya tanpa sebab.
Rafizi berkata, kenyataan dibuat Azam pada hari persaraannya menimbulkan kebimbangan kerana agensi penguat kuasa sepatutnya melaksanakan siasatan secara bebas tanpa dipengaruhi sentimen peribadi.
Menurutnya, SPRM perlu dilihat bebas serta kebal terhadap kritikan kerana setiap tindakan perlu berpandukan bukti dan undang-undang semata-mata.
“Dalam situasi saya, apabila Tan Sri Azam Baki menyebut dia tidak akan maafkan orang yang menyerang, maksudnya ada elemen emosi yang besar dalam kenyataan itu.
“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu, antara individu yang paling lantang mengkritik beliau ialah saya dan kritikan itu bukan bersifat peribadi tetapi untuk memastikan SPRM diyakini bebas dan bersih oleh rakyat,” katanya kepada pemberita sebelum hadir menyambung rakaman percakapan di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Beliau turut mendakwa siasatan terhadap dirinya bermula tidak lama selepas beliau mengkritik isu pemilikan saham membabitkan Azam, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada terdapat unsur rasa tidak puas hati dalam keputusan membuka siasatan.
“Sudah tentu kalau sesiapa berada dalam keadaan saya, ia akan menimbulkan tanda tanya sama ada semasa kes saya dibuka kira-kira dua bulan setengah lalu, terutama selepas saya mengkritik Azam mengenai pemilikan saham, ada unsur emosi yang menyebabkan siasatan itu bermula,” katanya.
Pada masa sama, Rafizi mendakwa kenyataan Azam minggu lalu mengenai cadangan supaya dua individu disiasat dibuat ketika proses rakaman percakapannya masih belum selesai sepenuhnya.
“Tetapi Azam memang dah buat kenyataan bahawa SPRM akan mencadangkan supaya dua orang disiasat.
“Perkara-perkara ini bila kita lihat secara keseluruhan memang menjadi hak saya untuk menanyakan sama ada siasatan terhadap saya ini dipengaruhi unsur emosi,” katanya.


