PPM bongkar stor haram minyak hitam, rampas lebih 76,000 liter

KEGIATAN haram memindahkan dan menyimpan minyak hitam disyaki tidak sah terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menyerbu sebuah premis di kawasan perindustrian Jalan Klang-Banting, Jenjarom, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Jaffri Bidin berkata, serbuan menerusi Op Landai kira-kira jam 10.40 pagi itu telah merampas lebih 76,800 liter minyak hitam pelbagai jenis bersama pelbagai peralatan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM671,900.

“Kegiatan itu dikesan selepas pasukan operasi terserempak dengan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan sebelum memasuki premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati aktiviti pemindahan minyak hitam pelbagai jenis sedang dilakukan dari lori tangki ke tangki IBC di dalam premis itu.

“Susulan itu, dua lori tangki, 36 tangki IBC berisi minyak, empat skid tank, empat mesin pam minyak, lapan hos minyak dan dua forklift turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 44 tahun yang dipercayai pekerja premis serta pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan sama, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sudah menyita premis berkenaan manakala lima sampel minyak dihantar ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan kompaun RM1,350 terhadap pemandu lori atas sembilan kesalahan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img