SEORANG tukang cuci dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini, atas pertuduhan membunuh lelaki warga emas ketika menyamun rumah mangsa di Ayer Tawar, minggu lalu.
Tertuduh, M Manimaran, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Asma’ Nahdiyya Che Ab Rahim.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Tang Kai Kong, 85, di sebuah rumah di Jalan Melayu, Ayer Tawar dalam daerah Manjung antara jam 3 hingga 4 pagi pada 7 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding sama, Manimaran turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung pada jam 12.30 tengah malam, 8 Mei lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Aini Osman bagi kes berkaitan dadah berkenaan.


