Lelaki sanggup sorok atas siling, elak dicekup khalwat

CUBAAN seorang lelaki bersembunyi di atas siling rumah bagi mengelak dicekup penguat kuasa agama gagal apabila dia ditemui mencangkung sambil berpaut pada kayu galang dalam serbuan khalwat di sebuah rumah teres dua tingkat, awal pagi kelmarin.

Serbuan dijalankan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 2.30 pagi selepas menerima aduan jiran mendakwa lelaki terbabit kerap datang ke rumah milik nenek teman wanitanya di sebuah taman perumahan di Johor Bahru.

Menurut JAINJ, penguat kuasa mengambil masa hampir 15 minit mengetuk pintu rumah sebelum seorang wanita berbaju kelawar membuka pintu selepas amaran diberikan untuk memecahkan tombol rumah.

“Selepas memperkenalkan diri, penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dan mendapati seorang nenek sedang tidur di ruang tamu.

“Wanita itu mendakwa hanya dia dan neneknya berada di dalam rumah tanpa kehadiran individu lain,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemeriksaan kemudian dijalankan di tingkat atas rumah yang mempunyai dua bilik namun tiada individu lain ditemui pada awalnya.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di sebuah bilik mendapati sebahagian siling rumah telah rosak dan terkopak selain penemuan telefon bimbit serta dompet dipercayai milik seorang lelaki.

“Wanita itu hanya berdiam diri menyebabkan penguat kuasa mengesyaki terdapat individu lain di dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di atas siling kemudiannya menemui seorang lelaki sedang mencangkung dan berpaut pada kayu galang siling rumah.

Lelaki terbabit kemudian diarahkan turun sebelum siasatan mendapati pasangan itu bukan suami isteri.

JAINJ berkata, kedua-duanya masih bujang dengan lelaki berkenaan bekerja di daerah tersebut manakala wanita terbabit menjalankan perniagaan dalam talian dan bekerja sambilan dari rumah.

Difahamkan, wanita itu tinggal bersama neneknya yang uzur atas permintaan ibu bapanya, manakala rumah keluarga mereka terletak kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati lelaki itu datang ke rumah berkenaan sekitar jam 11.30 malam.

“Pasangan ini juga difahamkan bakal bernikah dalam beberapa minggu lagi dan urusan di pejabat kadi telah selesai,” katanya.

Tambahnya, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana disyaki berkhalwat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img