SEORANG penganggur didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kulim hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran di Facebook (FB) yang didakwa menghina agama Islam, Januari lalu.
Tertuduh, Tsen Vui Kiong, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan aplikasi Facebook menerusi akaun ‘Jimmy Tsen’ untuk memuat naik satu hantaran mengandungi perkataan serta gambar kartun yang didakwa menyentuh sensitiviti agama seorang lelaki berusia 45 tahun.
Hantaran berkenaan dimuat naik pada jam 10.03 pagi, 16 Januari lalu sebelum dibaca pengadu pada 6 Februari di Taman Selasih, Kulim.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Jayasri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hairul Alif Hairul Azam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira kepentingan awam memandangkan kesalahan itu membabitkan isu sensitif berkaitan agama.
Katanya, hukuman dijatuhkan perlu menjadi pengajaran serta mesej kepada masyarakat supaya tidak mengulangi perbuatan sama.
Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya tidak bekerja, tiada pendapatan dan masih menanggung ibu bapanya yang sudah tua.
Beliau turut memaklumkan tertuduh yang masih bujang memberi kerjasama baik dan pengakuan bersalah dibuat turut menjimatkan masa mahkamah.
Tertuduh kemudiannya membayar denda dikenakan di kaunter kompleks mahkamah.


