SEORANG pembantu jualan maut manakala rakan sekerjanya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di Jalan Lapangan Terbang, Kuala Terengganu tengah hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, pembonceng motosikal yang maut ialah Muhammad Hasbi Muqri Mohd Amran, 21, manakala penunggang motosikal, Ahmad Amin Ahmad Shafie, 18, pula cedera parah termasuk patah tangan dan kaki.
Ahmad Amin kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke gerai jualan mereka di dalam kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC.
Beliau berkata, ketika melalui susur lampu isyarat di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan tercampak ke kawasan rumput berhampiran Sekolah Sukan Negeri Terengganu.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


