Amang seksual 3 kanak-kanak: Guru mengaji dipenjara 9 tahun, 3 sebatan

MAHKAMAH Sesyen Pasir Mas hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan terhadap seorang guru mengaji yang mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas tiga kanak-kanak lelaki.

Hakim Zulkpli Abdullah menetapkan keputusan itu terhadap tertuduh, Hanafi Hassan, 64, dan memerintahkan warga emas itu menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 1 Mei lalu.

Tertuduh sebelum itu membuat pengakuan sebaik sahaja kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak bermula ketika mangsa berusia sembilan tahun empat bulan pada Mei 2023, 16 Mac 2024, 26 Januari dan 11 Oktober tahun lepas.

Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap kanak-kanak berbeza bermula semasa mangsa berusia sembilan tahun 11 bulan pada 25 September, 2 Oktober dan 24 Oktober tahun lepas.

Pada pertuduhan lapan dan sembilan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak lain berusia 11 tahun dua bulan pada 23 November dan 7 Disember tahun lepas.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik mandi, bilik stor beberapa masjid dan stor gunting rambut sekitar Tanah Merah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hanafi dalam permohonannya menangis teresak-esak meminta hukuman ke atasnya diringankan atas alasan sudah berusia selain turut menjadi penanggung tunggal keluarga.

“Assalamualaikum tuan, pak cik mohon tuan ringankan hukuman pak cik seringan-ringannya memandangkan pak cik sudah tua.

“Pak cik ada empat anak berusia lebih 30 hingga 25 tahun, seorang anak orang kurang upaya berusia 27 tahun dan pak cik seorang saja bekerja jadi tulang belakang keluarga.

“Pak cik menyesal di atas perbuatan terkutuk ini, pak cik merayu hukuman seringan-ringannya,” rayunya.

Siti Aiysha Na’ilah pula dalam hujahnya berkata,  satu hukuman berat penting bagi menyampaikan mesej bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak merupakan jenayah serius dan tidak terus menjadi barah dalam masyarakat.

“Mangsa masih terlalu muda dan tertuduh pula guru mengaji mereka sudah tentu dihormat dan dipercayai, namun lelaki ini sebaliknya mengambil kesempatan dengan melakukan amang seksual terhadap mangsa secara berulang kali antara tahun 2023 hingga 2025.

“Tertuduh juga pelbagai cara untuk mempengaruhi mangsa termasuk membawa mereka keluar, membelikan pengecas telefon, kad sim dan kasut serta mengugut tidak mahu lagi mengajar mengaji sekiranya mangsa enggan menurut kehendaknya,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img