Cabaran kritikal bakal dihadapi misi GSF 30 jam akan datang – SNCC

CABARAN paling kitikal dijangka bakal dihadapi hampir 500 aktivis kemanusiaan yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2026 dalam tempoh 28 hingga 30 jam akan datang apabila kapal-kapal misi itu dijangka berdepan pelbagai risiko, termasuk pintasan menuju ke perairan Gaza.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, tempoh itu menjadi fasa paling mencabar selepas kapal-kapal misi berkenaan memasuki kawasan Zon Kuning 3 sejurus meninggalkan Pelabuhan Marmaris, Turkiye.

Beliau berkata, perubahan corak operasi tahun ini menyaksikan zon kuning diletakkan lebih awal berbanding tahun lepas susulan risiko pintasan oleh rejim Zionis.

Katanya, jarak perjalanan ke Gaza dianggarkan mengambil masa kurang daripada empat hari sekiranya tiada sebarang gangguan berlaku.

“Keluar sahaja daripada Pelabuhan Marmaris (Turkiye), mereka (kapal) sudah pun masuk Zon Kuning 3. Jadi, sekarang ini kami berada dalam tempoh berjaga-jaga sekiranya apa-apa berlaku,” katanya dalam sidang media di Sepang hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan kelajuan semasa kira-kira 12 batu nautika, flotila berkenaan dijangka menghampiri zon seterusnya menjelang petang esok (15 Mei).

Dalam perkembangan sama, Sani Araby berkata, satu pelan tindakan strategik berskala besar akan diumumkan esok melibatkan mobilisasi rakyat, advokasi Ahli Parlimen, pengukuhan tekanan diplomatik antarabangsa, gerakan solidariti media serta tindakan perundangan global bagi memastikan isu kepungan dan pencabulan hak kemanusiaan di Gaza dan Palestin dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata, tindakan itu adalah kesinambungan kepada Deklarasi Brussels yang disertai beberapa pihak termasuk Kaukus Palestin Parlimen Malaysia.

Sani Araby turut menyeru rakyat Malaysia mempergiat usaha menyebarkan fakta dan sejarah sahih berkaitan Palestin serta terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat demi keselamatan delegasi misi berkenaan.

“SNCC mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu hati untuk melakukan tindakan menggandakan usaha menyebarkan fakta dan sejarah yang sahih, menangkis propaganda jahat rejim serta meningkatkan kesedaran awam melalui semua platform media,” katanya.

Sebarang pertanyaan rasmi berkaitan misi dan Palestin boleh dilayari di portal rasmi tanya.sumudnusantara.com.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img