MAYAT ke-12 mangsa bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor pada 11 Mei lalu, ditemukan petang ini.
Mayat disyaki wanita berdasarkan pakaian mangsa ditemukan bot nelayan tempatan pada kedudukan 31.5 batu nautika dari lokasi bot PATI itu dipercayai tenggelam.
Aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Perkasa 1239 kemudian mengambil mayat mangsa untuk dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) di Kampung Acheh kira-kira jam 2.35 petang untuk tindakan lanjut.
Pagi tadi, mayat ke-11 dipercayai lelaki ditemukan pada jam 9.27 pagi oleh aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), FCB 1001 pada kedudukan 5.6 batu nautika barat daya Pulau Pangkor.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kelima diteruskan hari ini membabitkan tujuh aset utama daripada Maritim Malaysia, TLDM dan Pasukan Polis Marin (PPM).
Setakat ini, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan manakala 12 mayat sudah ditemukan membabitkan enam lelaki dan enam wanita.
Dua lagi mangsa masih hilang dan operasi SAR sedang giat dijalankan.
Dalam kejadian awal pagi 11 Mei lalu, sebuah bot dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia dilaporkan tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika barat Pulau Pangkor.


