PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) menemukan satu lagi mayat mangsa bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor awal pagi Isnin lalu, petang tadi.
Mayat mangsa lelaki itu ditemukan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sri Indera Sakti (KD SIS) pada kedudukan 4.5 batu nautika barat daya Pulau Pangkor, kira-kira jam 5.31 petang.
Mayat berkenaan kemudian diserahkan kepada aset Fast Combat Boat (FCB) 1002 pada jam 6.25 petang untuk tindakan lanjut.
Sebelum itu pagi ini, satu mayat ditemukan iaitu mangsa kelapan dalam kejadian itu oleh pasukan operasi SAR kira-kira jam pada 11.30 pagi di kedudukan tiga batu nautika dari Tukun Terendak.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Deputi Superintenden Mazre Che Mahmod dilaporkan berkata, mangsa ditemukan terapung oleh anggota PPM dan identitinya masih dalam siasatan.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari keempat itu diteruskan dengan fokus pencarian tertumpu di kawasan penemuan mayat mangsa pada hari kedua operasi.
Menurutnya, operasi melibatkan keluasan sektor pencarian 219.01 batu nautika persegi.
Dalam kejadian awal pagi 11 Mei lalu, sebuah bot dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia dilaporkan tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika barat Pulau Pangkor.
Setakat ini, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan manakala sembilan mayat sudah ditemukan.
Operasi SAR bagi mengesan baki lima lagi mangsa yang masih hilang sedang dipergiat.


