SEORANG jururawat lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 3.8 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Shah Alam pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Afiq Safwan Sabri berusia lingkungan 30-an yang bertugas di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila lori tanpa muatan dari arah Seafield ke Bukit Jelutong berhenti di lorong kecemasan akibat tayar pecah.
“Mangsa yang menunggang dari arah sama kemudian melanggar bahagian kanan belakang lori itu.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-286 3875.


