TINDAKAN seorang wanita warga China memasuki kawasan pelepasan antarabangsa tanpa tiket penerbangan ditahan selepas dipercayai menceroboh kawasan keselamatan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Kejadian itu turut tular di media sosial apabila suspek dilihat bertindak agresif ketika berada di kawasan pelepasan antarabangsa C terminal berkenaan.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi Munusamy berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.35 tengah hari apabila wanita terbabit dikesan melepasi pintu autogate pemeriksaan keselamatan tanpa memiliki sebarang tiket penerbangan.
“Bertindak atas maklumat diterima, suspek ditahan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA kira-kira jam 1.45 tengah hari pada hari sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati wanita itu memasuki negara ini pada 30 April lalu untuk bercuti bersama rakannya.
“Bagaimanapun, suspek dipercayai tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli tiket penerbangan pulang ke negara asal,” katanya.
Menurut Ravi, wanita terbabit dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini dan dibenarkan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Katanya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan keselamatan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam khususnya di Terminal KLIA 1 dan KLIA 2.


