PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI tidak pernah menghasut bagi tujuan mengkhianati mana-mana pihak dalam Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri berkata, sepanjang tempoh tiga tahun kepemimpinannya, walau ada yang cuba ‘dibisikkan’ kepadanya, ia tidak mungkin menggugat semangat perpaduan dalam PH.
“Kita dengar sesuatu perkara kita cuba ubah suai, sampai ada program kita yang kita lengahkan sebab nak ambil kira semua pandangan.
“Kalau ambil kira banyak juga perkara yang berlaku, tetapi semangat kental kita kerajaan stabil. Politik ini kita perlu stabil dan aman, sebab kita kita harus ada kekuatan bersama, tetapi kenapa kita harus pecahkan melainkan dikhianati.
“Tetapi ada gendang dipalu, orang macam nak lancarkan perang, kita siap dan lawan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru hari ini.
Anwar berkata, walaupun ada yang mengatakan pihaknya lemah kerana sering memberi perhatian kepada kerajaan negeri bukan di bawah pemerintahan PH, namun beliau masih tetap meneruskan berkhidmat buat semua rakyat.
“Bukan sahaja Kerajaan Perpaduan, dengan negeri-negeri UMNO, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), saya ambil pendekatan sangat mudah.
“Saya gunakan aturan semangat Kerajaan Pusat yang tunaikan janji. Ini tak bermakna kita lemah. Saya nak bagi mesej jelas bahawa kita berjuang puluhan tahun berdasarkan prinsip, runding dengan baik, tak terjah secara terbuka.
“Jangan salah faham dan jangan ugut ke arah pengkhianatan. Kita tak makan ugutan. Pukul dah, penjara dah, nak ugut oleh budak-budak, ‘no way‘. Ini darah reformasi, pantang dicabar. Lawan tetap lawan,” tegasnya.


